KUALA LUMPUR – Untuk Belanjawan 2024, kerajaan perlu menggandakan usaha dalam membawa pekerja gig untuk sertai skim simpanan persaraan arus perdana walaupun terdapat daya tarikan yang baik dari aspek kadar pengambilan untuk simpanan sukarela di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, isu ini dibangkitkan oleh kerana peningkatan kos sara hidup dan ancaman daripada penipu kewangan, yang boleh menjejaskan kebajikan jangka panjang pekerja gig.

  • Gambar sekadar hiasan

“Isu utamanya adalah mengenai kebajikan pekerja gig, terutamanya berkenaan dengan simpanan persaraan mereka.

“Ia adalah mengenai celik kewangan dalam kalangan pekerja gig dan bagaimana agensi kerajaan boleh merapatkan jurang dalam pengetahuan. Jadi, perlu ada usaha yang diselaraskan dalam kalangan kementerian berkaitan perkara ini,” katanya berhubung fokus ekonomi gig bagi Belanjawan 2024.

E-Sukan Antara Lima Harapan Belanjawan 2024 MDEC

Mengenai fokus ekonomi sukan elektronik (e-sukan) bagi Belanjawan 2024, Mohd Afzanizam memberi cadangan untuk memanfaatkan e-sukan sebagai daya tarikan pelancong memandangkan program Melawat Malaysia dijangka akan diadakan pada tahun 2025.

“Program Melawat Malaysia yang sepatutnya diadakan pada 2025, perlu memasukkan e-sukan sebagai acara utama mereka.

“Ini akan melibatkan peruntukan untuk kementerian berkaitan seperti pelancongan dan belia dan bagaimana mereka bekerjasama untuk menganjurkan acara sebesar itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Kandungan Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mohan Low Han Sen berkata, lima harapan Belanjawan 2024 MDEC adalah berkaitan dengan pembangunan permainan di bawah e-sukan, terutamanya memperuntukkan belanjawan khusus untuk pembangunan permainan e-sukan; memupuk kerjasama antara pembangun tempatan dan penerbit permainan antarabangsa; memperkenalkan insentif untuk pembangun permainan e-sukan; mempromosikan e-sukan dalam acara berbilang sukan; serta penyelidikan dan analisis e-sukan.

“Kita harus memperkenalkan insentif (untuk pembangun permainan e-sukan) seperti pelepasan cukai atau geran, untuk pembangun permainan yang mencipta tajuk e-sukan dan mengambil bahagian dalam acara e-sukan tempatan dan antarabangsa selain memberi ganjaran kepada pembangun yang mereka bentuk permainan yang menyerlahkan budaya warisan atau sejarah Malaysia,” katanya.

Tamabh beliau, untuk meningkatkan lagi pembangunan permainan di Malaysia, beberapa inisiatif dan pelaburan utama diperlukan, terutamanya program untuk pembangunan kapasiti syarikat pemula niaga; dana untuk menyokong kos pembangunan syarikat pemula niaga; dan dana untuk pemasaran dan kesedaran kepada orang ramai.

Menurutnya, secara keseluruhannya, anggaran kos untuk inisiatif ini dalam jajaran RM10 juta hingga RM15 juta setahun tetapi angka ini boleh berbeza-beza bergantung kepada matlamat tertentu.

Beliau berkata, komitmen jangka panjang dan penilaian berterusan adalah kunci kepada kejayaan inisiatif tersebut dan kerajaan perlu menubuhkan pusat pembangunan permainan di wilayah utara, timur, selatan dan tengah Malaysia yang terletak di lokasi strategik untuk memastikan kebolehcapaian pembangun dan peminat daripada pelbagai tempat di negara ini.

Sumber: BERNAMA, Astro Awani