Isu kekurangan guru sebanyak 20,000 telah melanda negara kita dan Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr.Anuar Ahmad mencadangkan supaya kerajaan perlu mengambil peruntukan dalam Belanjawan 2024 berhubung isu ini.

Anuar Ahmad berkata pelajar disekolah dan di institusi pembelajaran tertinggal di dalam aspek akademik kerana masalah kekurangan, sekaligus menjadikan isu ini sebagai isu yang kritikal yang harus diberikan lebih perhatian.

Pendigitalan pendidikan pada 2024 perlu dicapai oleh kerajaan dengan mengambil inisiatif peruntukan dari Belanjawan 2024 tersebut supaya masalah kekurangan guru tersebut dapat diatasi.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa sekolah-sekolah yang ada di Malaysia perlu menambah baik capaian internet untuk membantu lebih ramai pelajar dari keluarga yang miskin dalam tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Peruntukan khas untuk program latihan meningkatkan kemahiran pedagogi guru berteraskan teknologi maklumat dan peruntukan untuk menyediakan lebih banyak kandungan digital bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” ujar beliau menerusi sumber Astro Awani.

Beliau turut menambah dengan mencadangkan kerajaan untuk memberikan lebih banyak bantuan dan perhatian kepada pihak swasta untuk membuka satu pintu baru untuk peluang kerjaya dalam bidang TVEt dan juga teknikal.

Seterusnya, Anuar Ahmad berharap infrastruktur di sekolah seperti makmal sains turut dinaik taraf dan dibaik pulih supaya pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat diperbanyakkan.

“Ini termasuk menyediakan padang sekolah dan peralatan sukan yang mencukupi bagi aktiviti fizikal dan sukan murid-murid supaya dapat dilaksanakan dengan lancar.” tambah beliau.