Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hadir dan memberi ucapan di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-78 dijalankan pada dua hari yang lepas bertarikh 22 September. Perhimpunan tersebut merupakan platform untuk ketua negara dan wakil negara membincangkan berkenaan isu antarabangsa sesama mereka.

Beliau juga memberi banyak kenyataan dalam ucapan beliau berkenaan hal ehwal negara dan antarabangsa termasuklah islamofobia, konflik Rusia-Ukraine, isu Palestin, perubahan iklim dan antaranya ada berkenaan Malaysia Madani.

MALAYSIA MADANI DI PERSADA DUNIA

Perdana Menteri memperkenalkan konsep Malaysia Madani di persada dunia, berkenaan maksud dan tujuan utama ianya dicipta.

“Awal tahun ini saya memperkenalkan Malaysia Madani. Madani merangkumi ihsan, hormat, keyakinan, daya cipta, kesejahteraan dan kemampanan. Prinsip dan nilai moral ini juga terpakai dalam konteks hubungan Malaysia dengan negara lain.’ ujar beliau.

Perdana Menteri turut berkata bahawa konsep Malaysia Madani adalah seiring dan boleh digunakan di dalam PBB yang mempunyai persamaan dengan hubungan dengan negara lain seperti G7, G20, G77, APEC, atau FTA terbesar dunia.

“Tidak dapat dinafikan mereka telah menjalinkan kerjasama dan menyelesaikan krisis yang melanda dunia”, tambah beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia akan memberi komitmen yang penuh dalam usaha PBB dalam mencorak dunia yang lebih baik untuk hari esok.