Universiti Tsinghua merupakan universiti elit yang tidak asing lagi di China. Terletak di Beijing, institut pengajian tersebut ditubuhkan pada tahun 1911 dengan nama Tsing Hua Imperial College. Mereka menawarkan pelbagai program untuk pelajar seperti sarjana muda, graduan, pelajaran dalam talian dan lain lain.
Pada hari isnin, 18 September yang lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencapai satu persetujuan setelah berdiskusi bersama Encik Wang Xiqin, Presiden Universiti Tshinghua.
Dalam pertemuan dua hari lepas di Kementerian Kewangan, Perdana Menteri menyatakan hasrat berkenaan tentang pertukaran pelajar, ahli akademik serta para pengkaji yang boleh menjamin kerjasama untuk memperkukuhkan hubungan sesama negara.
HARAPAN KEDUA-DUA NEGARA
“Harapan saya agar kerjasama ini dapat diperluaskan sementelahan Universiti Tsinghua dikenali sebagai antara yang terkenal dan mendapat pengiktirafan antarabangsa berkaitan kajian akademik dan bidang pendidikan, khususnya melibatkan kejuruteraan, sains dan teknologi.” ujar Perdana Menteri pada laman media sosial Facebook dua hari yang lepas.
Kajian bersama adalah penting untuk perkembangan dalam bidang akademik kedua-dua belah negara kerana Malaysia dan China sudah hampir 50 tahun mempunyai hubungan diplomatik sesama mereka dan ingin memperkuatkan lagi untuk masa yang akan datang.
Presiden Universiti Tshinghua turut menyatakan mereka sedang merancang untuk mengadakan program bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka.
Seramai 350 pelajar Malaysia yang meneruskan pembelajaran mereka di Universiti Tshinghua dan jumlah tersebut merupakan jumlah pelajar asing terbanyak di institut pengajian tinggi itu.
