PUTRAJAYA – Belanjawan 2024 yang dijalankan pada 13 Oktober 2023, jumaat lepas telah membentangkan pelbagai peruntukan dan perbelanjaan untuk setiap aspek dalam negara secara menyeluruh.

Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Malaysia menerangkan intipati Belanjawan 2024 yang difokuskan untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dalam mengendalikan isu dan masalah ekonomi didalam negara.

Terdapat pelbagai intipati peruntukan yang diutamakan dalam belanjawan tersebut seperti peruntukan untuk Kementerian Kesihatan sebanyak RM 41.2 billion, kadar cukai perkhidmatan dinaikkan kepada 8% dan lain lain.

Berikutan semua intipati yang disebut, artikel ini memfokuskan tentang yuran pendaftaran pelajar universiti awam yang telah disebut hadnya yang tidak boleh melebihi RM1,500.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan inisiatif itu selaras dengan bantuan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang dilakukan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berjumlah RM1,500 kepada bakal pelajar yang layak memilikinya.

Tambahnya lagi, beliau mengatakan dengan jelas bahawa tidak boleh mana-mana pihak universiti menghalang hak pelajar yang layak untuk mendaftar, hanya kerana mereka tidak dapat membayar yuran kemasukan pengajian.

“Sekiranya pelajar itu menghadapi masalah, universiti tetap dan wajib mendaftar dan memaklumkan kepada kementerian dan kerajaan.” ujar beliau.

Selain itu, tiada sekatan pendaftaran subjek akan dilakukan setiap semester bagi pelajar yang tidak mampu bayar yuran pengajian.

Anwar juga menyatakan pelajar boleh melunaskan yuran pengajian selepas pendaftaran subjek.

Beliau turut menasihatkan supaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti, PTPTN dan badan lain supaya memudahkan dan membantu pelajar yang mempunyai masalah pembayaran yuran.

Anwar juga menambah dengan kenyataan sebelumnya dengan menyatakan akan adanya diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula pada 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024.