SHAH ALAM – Rundingan dan penentuan harga bekalan ayam dan telur di pasaran akan dibincangkan pada Isnin (hari ini).
Penasihat Persekutuan Persatun-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffery Ng Choon Ngee berkata, pertemuan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu adalah antara usaha yang dibambil untuk meringankan bebanan para penternak.
Dalam kenyataan beliau semalam, beliau berkata hasil dan keputusan perbincangan itu juga diharapkan agar dapat menjamin bekalan ayam dan telur yang mencukupi dalam pasaran.
“Esok (Isnin) kita akan bincang dengan KPKM. Kita nak tengok apa hala tuju kerajaan dan apa yang kita dapat bantu.
“Kalau (pihak kami) ada masalah pun, jika kerajaan boleh bantu ia dapat meringankan sedikit beban supaya kita dapat menjamin bekalan telur dan ayam dalam pasaran.
“Kami menyokong keputusan kerajaan untuk mengapungkan harga telur dan ayam.
“Cuma kalau tanya harga (yang ditetapkan itu) sampai (tahap) mana, kita tidak tahu sebab ia tertakluk kepada permintaan bekalan,” katanya ketika dihubungi kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Jumaat lepas, kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2024 telah mengumumkan untuk menyeimbangkan dan mengapungkan harga ayam serta telur agar lebih rendah daripada harga apungan sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, trend semasa menunjukkan bekalan ayam dan telur mula stabil selain harga pasaran semasa berada di bawah harga siling kawalan.
Dalam pada itu, ujar Jeffery, memandangkan bekalan telur dan ayam dalam pasaran masih lagi mencukupi, maka harga yang ditetapkan sepatutnya tidak berubah terlalu ketara.
Katanya, sehingga kini harga kawalan untuk telur dan ayam masih berkuat kuasa sehingga pengumuman daripada kerajaan dibuat.

“Sekarang ini untuk telur gred C adalah 35 sen sebiji, gred B (37 sen), dan gred A (39 sen).

“Bagi ayam pula, kerajaan tetapkan RM6 sekilogram. Itu pun lebih dari setahun sebab sejak Februari, 2022 hingga sekarang, masih pakai harga itu.
“Harga jualan di pasaran ialah RM9.40 untuk ayam standard. Kalau harga Sabah dan Sarawak, harganya berlainan,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian
