PUTRAJAYA, 25 Oktober 2025 – Rakyat Malaysia yang melancong atau bertugas di Timor-Leste kini boleh menikmati pengalaman perayauan data (data roaming) yang lebih lancar, pantas dan berpatutan, hasil inisiatif terkini Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mulai 17 Oktober 2025, pengendali rangkaian mudah alih utama Malaysia — CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile — telah berjaya mengaktifkan perkhidmatan perayauan data mereka di Timor-Leste. Sementara itu, YTL Communications turut menyertai senarai penyedia berkenaan pada 24 Oktober 2025.

Langkah ini sekaligus memastikan rakyat Malaysia yang berada di luar negara, khususnya di Timor-Leste, dapat kekal berhubung melalui rangkaian 4G yang stabil dan bukan lagi bergantung kepada infrastruktur lama 2G atau 3G.

Menurut MCMC, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara Malaysia dan Autoridade Nacional de Comunicações (ANC) Timor-Leste, serta sokongan strategik daripada penyedia telekomunikasi utama negara berkenaan seperti Telkomsel, Telemor dan Timor Telecom.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh keterhubungan digital serantau dan menyokong agenda ASEAN dalam membentuk masa depan digital bersama,” kata kenyataan MCMC.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 komited memacu integrasi digital dan memperkukuh jaringan komunikasi antara negara anggota. Usaha ini juga selaras dengan visi “Keterangkuman, Kelestarian dan Keterhubungan Digital” yang menjadi teras kepengerusian tahun hadapan.

Penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN dianggap simbolik dalam memperluas hubungan diplomatik serta peluang ekonomi digital antara kedua-dua negara.

Dengan pengaktifan perkhidmatan ini, pengguna Malaysia kini boleh menikmati kadar perayauan lebih rendah, sambungan Internet lebih lancar dan efisien, serta pengalaman digital yang benar-benar menyeluruh tanpa sempadan.