BEIJING – Hamas mengumumkan pada Selasa bahawa pihaknya telah menandatangani perjanjian di Beijing, China dengan pertubuhan Palestin yang lain termasuk Fatah untuk bekerjasama demi ‘perpaduan nasional’.

Menteri Luar China, Wang Yi yang menjadi tuan rumah kepada pegawai kanan Hamas, Musa Abu Marzuk, utusan Fatah, Mahmud al-Aloul dan utusan daripada 12 kumpulan Palestin lain, berkata, mereka telah bersetuju untuk menubuhkan ‘kerajaan pendamaian nasional sementara’ untuk mentadbir Gaza selepas perang.

“Hari ini kami menandatangani satu perjanjian demi perpaduan nasional. Kami komited untuk perpaduan nasional dan merealisasikannya,” kata Abu Marzuk selepas bertemu dengan Wang dan utusan lain.

Untuk pengetahuan tambahan, 70+ tahun dahulu Israel menduduki kawasan Palestin dan melayan warga Palestin secara tidak berperikemanusiaan . Namun, sejak dari Oktober 7 pertempuran tanpa henti dan pembunuhan beramai ramai yang dilakukan oleh tentera zionis Israel kepada rakyat Palestin telah menjerumuskan Gaza dalam krisis kemanusiaan paling teruk.

Tidak kurang teruknya kawasan tebing barat yang walaupun tiada krisis kemanusiaan yang teruk seperti di Gaza, namun kawasan itu dikawal ketat oleh zionis negara haram Israel.

Dalam isu ini, China telah berusaha untuk memainkan peranan sebagai orang tengah, yang kini menjadi lebih kompleks dalam politiknya disebabkan oleh persaingan sengit antara Hamas, yang memerintah Genting Gaza manakala Fatah mentadbir Tebing Barat.

Israel pula telah berikrar untuk terus berjuang sehingga mereka memusnahkan Hamas, manakala kuasa dunia termasuk penyokong utama Israel, Amerika Syarikat (AS) telah berebut-rebut untuk membayangkan senario untuk tadbir urus Gaza sebaik sahaja genosid tersebut berakhir.

AS tidak akan menyetujui mengenai sebarang rancangan pasca perang yang membabitkan Hamas, yang diisytihar sebagai organisasi pengganas oleh Washington.

Walaupun tidak jelas sama ada perjanjian yang diumumkan di Beijing boleh bertahan, tetapi ia menunjukkan bahawa satu-satunya kuasa dunia yang boleh membina hubungan rapat antara pesaing Palestin ialah China.

Ketika mesyuarat Selasa berakhir di Beijing, Wang berkata, kumpulan itu telah komited untuk melakukan ‘perdamaian’. 

SUMBER : SINAR HARIAN, AFP