Jerman

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menggesa Jerman agar menggunakan pengaruhnya untuk memperjuangkan gencatan senjata dalam konflik antara Israel dan Palestin, sambil memberikan sokongan penuh kepada akses bantuan kemanusiaan.

Anwar menyuarakan pandangan ini semasa bertemu dengan Menteri Luar, Jerman Annalena Baerbock, yang melawat beliau di Perdana Putra, Putrajaya semalam.

“Perbincangan utama kami tertumpu pada isu Palestin, di mana saya menegaskan pendirian Malaysia untuk mendesak Barat agar berhenti menyokong pendudukan Israel yang telah berlangsung selama beberapa dekad. Selain itu, kita perlu berusaha mengelakkan pembantaian terhadap rakyat awam, termasuk kanak-kanak,” katanya melalui hantaran di media sosial Facebook miliknya pada Jumaat.

Anwar turut menyatakan bahawa kedua-dua pihak bersetuju tentang keperluan untuk memperjuangkan hak pendidikan bagi wanita dan kanak-kanak perempuan, sambil mengutarakan kebimbangan terhadap perkembangan isu Myanmar yang masih belum terselesa.

Beliau turut berkongsi bahawa terdapat persetujuan dalam beberapa perkara lain, termasuk aspek ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta usaha untuk meningkatkan pemahaman antara budaya.

  • Jerman

Baerbock dan delegasinya kini sedang melawat ke Asia Tenggara, termasuk Filipina dan Singapura, selain Malaysia. Jerman telah menjadi rakan dagang utama Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU) sejak tahun 2000, manakala Malaysia juga merupakan rakan dagang utama Jerman di kalangan negara-negara anggota ASEAN.

SUMBER : BERNAMA