Digital

PUTRAJAYA – Kementerian Digital perlu dibentuk dan ianya akan menerajui transformasi digital negara agar dapat bersaing dan tidak ketinggalan, ujar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berucap di Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Beliau menyatakan bahawa kementerian khas tersebut wujud dengan adanya rombakan kabinet pada bulan lepas dan ia dibentuk kerana beliau memikirkan tentang tahap daya saing yang tidak begitu pantas di negara dalam bidang digital terutamanya.

“Program digital harus dilakukan dengan lebih drastik, agresif daripada yang dahulu , kalau tidak, kita akan ketinggalan,” katanya sewaktu berucap pada majlis tersebut hari ini.

Beliau turut berkata bahawa keghairahan dalam terus menumbuhkan sektor ekonomi dan digital, mutu pendidikan dan kesihatan, nilai kemanusiaan, keadilan dan akhlak yang baik juga tidak wajar untuk ditinggalkan.

“Digital itu melibatkan soal nilai. Ia satu prakasa baharu yang menekan soal teknologi baharu, tetapi kita mesti mengakar ke bumi. Kita ada sistem keyakinan dan nilai kita. Hal ini harus kita dekati.” tambahnya lagi.

Dalam soal pendidikan, Anwar mengatakan penguasan bahasa Melayu seharusnya menjadi lebih baik dan dalam masa yang sama bahasa inggeris juga perlu diberi keutamaan.

Segala langkah untuk mendukung usaha kerajaan perlu merentasi kementerian dan jabatan sama, sama ada dalam soal undang-undang, pendidikan dan kesihatan.

“Janganlah fikir langkah lama – ini jabatan saya, kementerian saya (sebaiknya) mesti merentasi kementerian. Kalau undang-undang, ia melibatkan semua ; kalau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ia melibatkan semua, kalau tidak ia hanya jadi satu cabang kementerian agama yang tiada kaitan dengan lain” katanya.

SUMBER : BERNAMA