KERJA

KUALA LUMPUR – Sejak diumumkan bahawa Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan mempertimbangkan tempoh bekerja yang lebih pendek bagi penjawat awam wanita, banyak dari golongan wanita melihat perkembangan ini sebagai satu langkah positif ke arah meningkatkan keterlibatan mereka dalam pasaran kerja.

Realitinya, isu di mana wanita terpaksa mengabaikan keinginan mereka untuk bekerja demi menguruskan keluarga telah menjadi masalah yang berlarutan. Walau berbagai usaha telah dilakukan sebelum ini, namun tiada penyelesaian yang jelas ditemui sehingga kini.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Novel Lyndon, menyatakan bahawa pelaksanaan inisiatif tersebut sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai sasaran 60 peratus penyertaan tenaga buruh wanita di negara ini.

  • kerja

Beliau menekankan bahawa pelaksanaan SSPA berpotensi untuk menyelesaikan beberapa masalah yang telah lama menjadi cabaran bagi wanita yang bekerja, seperti dilema menghantar anak ke pusat jagaan dan kesukaran dalam menyeimbangkan tanggungjawab keluarga dengan keperluan kerjaya.

“Usaha kerajaan ini juga bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan dan proses interaksi dalam kalangan ahli keluarga tetapi turut membantu pasangan yang mempunyai anak kecil atau yang baharu berkahwin untuk menguruskan keluarga dengan seimbang.

“Wanita memainkan peranan domestik untuk menjaga atau mengurus ahli keluarga, selain mereka juga mencari rezeki bagi membantu suami serta bagi tujuan pembangunan kerjaya,” ujarnya kepada media.

Pada 8 Mac yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kajian SSPA yang sedang dirangka akan mempertimbangkan pemberian kelonggaran kepada penjawat awam wanita untuk bekerja dalam tempoh yang lebih pendek, memberi mereka peluang untuk memberi lebih perhatian kepada keluarga.

SUMBER : FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Dalam ucapan beliau semasa Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, Anwar menyatakan bahawa kelonggaran tersebut mungkin akan melibatkan perbezaan dalam kadar upah dan memerlukan perubahan dalam pemikiran tradisional. Hal ini disebabkan adanya wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya mereka demi memberi perhatian kepada keluarga.

Walau bagaimanapun, sambil menyambut baik kajian SSPA sebagai langkah positif, Profesor Dr. Novel Lyndon menekankan bahawa kajian ini perlu mengenal pasti sasaran wanita yang terlibat dalam tinjauan tersebut.

Ini termasuk mengkaji sama ada wanita bujang, yang tidak mempunyai komitmen, dan mereka yang belum berkahwin turut diberi perhatian dalam cadangan tersebut. Beliau juga menggariskan keperluan untuk memastikan bahawa tinjauan tersebut tidak akan menganggu senioriti dan perkembangan kerjaya wanita yang terlibat.

PENDAPAT WANITA BEKERJA TENTANG KAJIAN SSPA

Pada masa yang sama, Fauzura Mat Yusoff, seorang Penerbit Rancangan di Jabatan Penyiaran Malaysia, menyatakan bahawa pelaksanaan inisiatif tersebut berpotensi memberikan ruang kepada golongan wanita untuk mengatur kerjaya dan urusan rumah tangga dengan lebih baik. Ini akan menjadikan mereka lebih produktif dalam semua aspek kehidupan.

“Ia adalah situasi menang-menang yang mana wanita yang juga berperanan sebagai ibu dapat melaksanakan kehidupan dengan seimbang, mereka dapat bekerja menambah pendapatan dan pada masa sama memberikan lebih perhatian dan masa untuk keluarga.

“Kalau dilaksanakan, masalah utama berkaitan penjagaan anak-anak dapat dikurangkan walaupun bukan penyelesaian 100 peratus tetapi secara tidak langsung mampu meringankan beban,” kata Fauzura yang juga ibu kepada seorang anak perempuan berusia sembilan tahun.” ujarnya.

Pegawai Penerangan di Jabatan Penerangan Negeri Pahang Zayana Zahira Mohd Isa, 41, berkata kajian SSPA berhubung tempoh bekerja lebih pendek bagi wanita ialah usaha positif untuk golongan berkeluarga, namun perkara itu bergantung kepada kaedah pelaksanaan supaya tidak menjejaskan produktiviti pekerja.

“Saya cadangkan jadual penggiliran kerana ramai wanita yang bekerja di pejabat. Kalau semua balik awal atau tempoh masa kerja dipendekkan, boleh menjejaskan perkhidmatan di tempat kerja,” katanya.

SUMBER : BERNAMA