PETALING JAYA: Lapan keluarga daripada 10 mangsa kemalangan pesawat Elmina akan menerima pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso).

Dalam laporan Bernama, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata seorang individu akan menerima Faedah Pencen Penyelamat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Manakala penerima manfaat lain layak menerima dua faedah, iaitu Faedah Orang Tidak Berkerja Tetap di bawah Akta Skim Keselamatan Sosial Pekerja Bebas (Akta 789) dan Faedah Pencen Penyelamat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya dalam kenyataan.

“Namun, dua keluarga tidak akan menerima faedah Socso kerana salah seorang daripada mereka merupakan seorang penjawat awam dan yang lain tidak menyumbang ke dalam skim tersebut.”

Sementara itu, Sivakumar berkata Socso menyumbangkan RM2,000 kepada urusan pengebumian tujuh mangsa di bawah skim Faedah Pengurusan Pengebumian.

Pembayaran kepada waris seorang lagi individu telah ditangguhkan kerana tiada respons daripada keluarga.

Sebuah pesawat perniagaan Beechcraft terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina pada Khamis lepas, membunuh semua enam penumpang, dua ahli krew di dalam pesawat, dan dua lagi di tanah.

Antara yang meninggal adalah Exco Negeri Pahang, Johari Harun.

Pesawat tersebut dalam perjalanan dari Langkawi ke lapangan terbang Subang dan telah mendapat kelulusan untuk mendarat pada pukul 2.48 petang. Ia terhempas beberapa minit kemudian.