BANDAR SERI BEGAWAN – Lawatan Kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brunei sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 antara Malaysia dan Brunei yang berakhir semalam dilihat cukup signifikan dalam meningkatkan dan memperkukuhkan hubungan antara dua negara tersebut.

Mengikuti lawatan kerja itu, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Anwar memperjelaskan komitmen bersama dalam meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang, terutamanya pelancongan, pendidikan, pelaburan, sastera, teknologi dan ketenteraan.

Dalam sidang media beberapa hari lalu, Anwar menyatakan pendekatan baharu hubungan Malaysia-Brunei berteraskan kepada dua aspek iaitu meningkatkan hubungan dalam apa sahaja bidang yang mungkin, dan hubungan langsung bergantung kepada keputusan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata hubungan langsung Brunei dengan dua negeri Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak dilihat sangat praktikal kerana mempunyai sempadan yang sama, dan ia mampu merperkuatkan lagi sektor pengangkutan dan pelancongan sekaligus memberi manfaat ekonomi kepada negara.

Anwar juga memberi penghargaan kepada kerjasama baik yang diberikan oleh Sultan Hassanal Bolkiah kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam usaha carigali dan pengeluaran minyak serta gas di Brunei, yang mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.

Anwar juga menjunjung kasih kepada Sultan Hassanal Bolkiah atas keakraban peribadi kedua-dua pemimpin, dan keakraban itu cukup bermakna, terutaman dalam usaha meneruskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei.

Beliau juga tersentuh apabila baginda berkenan berangkat ke Kuala Lumpur pada 28 November 2022 untuk memberikan sokongan tanpa undangan rasmi, hanya beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Berbalik kepada perjumpaan Anwar dan Sultan Brunei, Rundingan Pemimpin tahunan ke-25 itu diadakan di Istana Nurul Iman di sini dua hari lepas dan tiga dokumen dua hala dimeterai antara Malaysia dan Brunei.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengiringi Anwar dalam rundingan itu, dokumen pertama ialah Memorandum Persefahaman (MoU) Fasa Pertama melibatkan persempadanan darat antara Malaysia dan Brunei.

Dokumen kedua pula melibatkan MoU dalam bidang pengangkutan bagi kerjasama penerbangan membabitkan Brunei, Sabah dan Sarawak yang signifikan dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan di kawasan terbabit.

Dokumen ketiga Pertukaran Nota itu melibatkan akses maritim antara Malaysia dan Brunei dengan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa sementara bagi menyelaras perkara berkenaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang turut mengiringi Anwar dalam rundingan itu memaklumkan bahawa kerjasama Malaysia dan Brunei yang berjaya ditingkatkan, dilihat saling menguntungkan kedua-dua negara.

Beliau berkata, Sabah juga mendapat limpahan manfaat signifikan dalam hubungan erat Malaysia dan Brunei itu.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan kerja itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Malaysia dan Brunei menyambut ulang tahun hubungan diplomatik ke-40 pada tahun ini. 

SUMBER : BERNAMA