BALIK PULAU: Memetik kenyataan dari Bernama, polis telah menangkap seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam, menyebabkan seorang pekerja kilang mengalami kerugian sebanyak RM432,725, baru-baru ini.

Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya semalam berdasarkan maklumat awam dan risikan.

“Menurut laporan yang diterima, mangsa seorang wanita berusia 57 tahun telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang memberitahu beliau mempunyai cukai tertunggak. Namun, mangsa menafikannya.

Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada seorang individu yang dikatakan sebagai pegawai polis sebelum mangsa diberitahu bahawa beliau mempunyai rekod jenayah berkaitan dengan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram. Keadaan ini menyebabkan wanita tersebut panik dan mengikut arahan suspek,” menurut kenyataan tersebut.

Wanita itu telah memindahkan semua wang simpanannya ke akaun Agro Bank miliknya sendiri dan mengisi borang maklumat Agro Bank yang diberikan oleh suspek yang mengaku sebagai pegawai polis.

Menurut kenyataan tersebut, selepas dua bulan, wanita tersebut yang bekerja di kilang di Bayan Lepas telah memeriksa dan mendapati bahawa semua wang simpanan sebanyak RM432,725 daripada akaun Agro Bank miliknya telah dipindahkan secara berperingkat ke akaun yang tidak dikenali sebelum beliau melaporkan kejadian ini kepada polis.

Polis telah menjalankan siasatan lanjut dan risikan sebelum berjaya menahan lelaki terbabit yang bekerja sendiri bagi membantu siasatan kes tersebut.

Polis juga telah menahan seorang lelaki berusia 35 tahun semalam yang disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket pinjaman wang dalam talian yang tidak wujud, menyebabkan seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM19,530.

Mangsa berusia 36 tahun itu telah memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM19,530 tetapi tidak menerima pinjaman wang tersebut.

“Kedua-dua lelaki tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan dan kedua-dua kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata beliau, siasatan lanjut masih dijalankan.

SUMBER DARI BERNAMA