PARIS – Pemain badminton negara tidak bersendirian di pentas Olimpik Paris apabila mendapat sokongan kuat daripada peminat Eropah. Mereka seolah-olah bermain di tanah air sendiri dengan sorakan gemuruh penyokong yang terpesona melihat aksi tangkas wakil Malaysia.

Pada perlawanan pertama Malaysia, beregu wanita Pearly Tan dan M Thinaah mencuri perhatian apabila mara ke suku akhir dengan kemenangan mengejut ke atas pasangan Jepun, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara, yang berada di kedudukan keenam dunia.

Tan dan Thinaah, yang menduduki ranking ke-13 dunia, menampilkan persembahan bertenaga dan mencatat kemenangan 18-21, 21-15, 21-16 ke atas juara dunia 2018 dan 2019 itu di Arena Porte De La Chapelle.

Menariknya, sebaik sahaja perlawanan berakhir, sebahagian besar penonton yang terdiri daripada warga Eropah memberikan ‘standing ovation’ kepada mereka. Ada juga penyokong yang mengibarkan bendera Malaysia sebagai tanda sokongan.

Situasi sama dialami oleh beregu campuran Tang Jie dan Toh Ee Wei yang berjaya menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Vinson Chiu dan Jennie Gai, dengan mata 21-15, 24-22 dalam perlawanan kedua mereka di Olimpik.

Sambutan luar biasa daripada penyokong Eropah ini mungkin kerana mereka terpesona dengan aksi hebat pemain Malaysia yang berusaha mencipta kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, turut mencatat kemenangan menewaskan pasangan Kanada, Adam Dong dan Nyl Yakura, dengan skor 21-10, 21-15 dalam perlawanan Kumpulan A yang berlangsung selama 40 minit.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, tidak menghadapi kesukaran mencipta kemenangan dengan menundukkan pemain nombor 70 dunia, Viren Nettasinghe dari Sri Lanka, 21-14, 21-12 dalam perlawanan Kumpulan G.

SUMBER : BERITA HARIAN