KUALA LUMPUR, 14 Jun – “Saya tidak berminat untuk berdendam dengan sesiapa. Saya hanya mahu satu perkara – wang negara yang hilang dikembalikan kepada rakyat.”
Itu penegasan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Anwar berkata, fokus utama beliau sebagai Perdana Menteri bukan untuk ‘memburu’ sesiapa secara peribadi, sebaliknya menuntut keadilan dan amanah terhadap wang rakyat yang disalahgunakan.
“Saya tidak kejar sesiapa. Tapi saya akan kejar wang yang dicuri daripada rakyat. Itu janji saya sejak hari pertama,” tegasnya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Beliau turut menekankan bahawa reformasi yang sedang dibawa kerajaan tidak boleh dipisahkan daripada usaha menegakkan integriti, ketelusan dan pertanggungjawaban – terutama melibatkan dana awam.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada beberapa siasatan dan usaha kerajaan dalam mengesan semula wang berkaitan skandal kewangan besar termasuk yang membabitkan projek mega dan syarikat berkaitan kerajaan.
PM Anwar turut menyeru rakyat dan media untuk terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang, bagi memastikan setiap sen wang negara digunakan demi kesejahteraan semua.
