KUALA LUMPUR, 20 Julai – Seorang tokoh ulama tersohor tanah air menyeru agar pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikekalkan demi menjamin kestabilan negara serta kesinambungan pembangunan Islam dan ekonomi Malaysia.

Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah, menzahirkan kebimbangan terhadap gerakan pihak tertentu yang mahu menggugat kerajaan sedia ada, termasuk melalui perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.

Menurut beliau yang juga Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, sebarang usaha menjatuhkan kerajaan dalam tempoh yang singkat hanya akan membawa mudarat kepada rakyat secara keseluruhan.

“Perubahan kerajaan yang terlalu kerap bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi, malah memberi kesan besar kepada pembangunan institusi pondok yang menjadi benteng pendidikan Islam di negara ini,” tegas beliau.

Beliau turut menggesa semua pihak agar mengutamakan maslahat ummah dan tidak terjebak dalam agenda yang boleh menggugat perpaduan serta kemajuan negara.

“Kita perlu fikirkan masa depan negara. Kestabilan politik adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi dan kesinambungan pembangunan Islam,” katanya lagi.

Gesaan ini hadir ketika suhu politik negara kembali memanas dengan pelbagai desakan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini dilihat sebagai antara tonggak utama dalam menyeimbangkan pembangunan ekonomi dan pemerkasaan syiar Islam di Malaysia.