Port Dickson : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Karnival Hari Belia Negara 2023 di padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson.
Sambutan Hari Belia Negara 2023 bukanlah sekadar sambutan biasa, sebaliknya ia memberi lonjakan semangat dan ruang kepada anak muda Malaysia untuk bersuara dengan lebih berkesan.
Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta setahun kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memperkasa peranan pertubuhan itu.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2023 Peringkat Kebangsaan di padang Pejabat Daerah Dan Tanah Port Dickson hari ini.
Anwar berkata, antara penambahbaikan yang beliau mahu lihat termasuk peningkatan penyertaan belia wanita sekurang-kurangnya 30 peratus di setiap peringkat persatuan.
Beliau berkata para belia perlu mempunyai keyakinan, idealisme, berprinsip, menghormati antara satu sama lain dan tolak segala rasuah serta juga mengingatkan ” Anak muda harus bangkit dari terus diperalat penunggang agama dan kaum”.
“Anak muda sekarang mesti sedar bahawa masa depan mereka tentukan, dengan syarat mereka mempunyai komitmen, sikap mahu menimba ilmu dan menolak kemungkaran, tolak rasuah dan kezaliman dan angkat martabat rakyat,” katanya.
Bersempena Hari Belia Negara kali ini yang bertemakan ‘Ini Masa Kita’, Anwar berkata jangan ada pula yang menggunakan agama dan kaum untuk merosakkan negara.
Selain itu, beliau turut menggesa peruntukan itu digunakan dalam memperhebat program-program ekonomi dan latihan kebajikan serta meningkatkan kesedaran belia untuk menunaikan tanggungjawab mereka dalam membantu menyelamatkan negara.
Anwar berkata MBM perlu memperincikan laporan mengenai hala tuju, menerusi peruntukan yang diumumkan itu, dan beliau mahukan dalam tempoh sebulan ini, MBM memberikan laporan mengenai rancangan pertubuhan itu bagi menambah keanggotaan para belia.
“Saya hendak laporan dalam satu bulan ini, apa rancangan? Pertamanya, menambah keanggotaan belia dalam persatuan, kedua, memastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk pimpinan MBM bermula dengan 30 peratus. Ketiganya, memperhebatkan program ekonomi, latihan kebajikan termasuk kesedaran belia untuk menunaikan tanggungjawab mereka menyelamatkan negara,” katanya.
Beliau terdahulu merasmikan Karnival Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2023 yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Adam Adly Abd Halim serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Anwar berkata beliau akan membawa cadangan berkaitan program latihan di institut latihan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke peringkat Jemaah Menteri untuk diluluskan dalam masa terdekat.
“Saya akan bawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat supaya agensi-agensi terlibat, baik Perkeso, Khazanah, Petronas; untuk turut terlibat dalam program latihan di institut latihan belia di bawah KBS,” katanya.
Sambutan yang bertemakan ‘ini masa kita’ itu dianjurkan oleh MBM buat kali pertama dengan menyasarkan penyertaan yang lebih besar dari kalangan belia.
Antara pengisian karnival yang bermula pada 27 Mei itu termasuk Himpunan Komuniti Belia, Jelajah Genta Belia, bengkel kemahiran, pertandingan sukan elektronik (e-sports), pameran kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), jualan usahawan belia, perkhemahan sukarelawan dan sebagainya.
Sumber : BERNAMA
