PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Prapenerimaan (Pre Acceptance Letter) bagi perolehan sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini, hari ini.
Majlis berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, dengan surat prapenerimaan diserahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Desan Shipyard Turkiye, Cenk Ismail Kaptanoglu.
Kapal MPMS ini direka khusus dengan spesifikasi canggih, termasuk panjang 99 meter, breadth 17m dan draught 4m serta mampu mencapai kelajuan maksimum 20 knot.
Kapal ini memiliki daya ketahanan operasi selama 30 hari di laut dan dapat menampung 70 kru serta 30 penumpang.
Ia turut dilengkapi dengan kemudahan moden seperti dua unit Unmanned Aerial Vehicle (UAV), empat unit Rigid Hull Fender Boat (RHFB), hospital mini dan pusat tahanan yang mampu memuatkan sehingga 45 individu.
Dalam aspek persenjataan, kapal MPMS ini dilengkapi dengan senjata utama berupa satu unit meriam 30mm dan dua unit senjata sekunder 12.7mm.
Sistem enjin menggunakan dua unit High Speed Engine berjenama MAN, termasuk generator jenama yang sama bagi memastikan keupayaan kapal memenuhi keperluan operasi maritim.
Perolehan kapal ini diharap dapat memperkukuhkan kesiapsiagaan aset APMM dalam melaksanakan tugas pengawalan, pelindungan dan penyelamatan di Zon Maritim Malaysia.
Dengan spesifikasi dan kelengkapan serba lengkap, ia diyakini mampu meningkatkan kecekapan operasi agensi tersebut.
Majlis penyerahan itu turut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail; Laksamana Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah; Ketua Pengarah Maritim Malaysia serta Setiausaha Bahagian Perolehan KDN, Datuk Nor Muhammad Che Dan@Che Din.
Kerjasama ini melambangkan hubungan erat antara Malaysia dan Turkiye, di samping komitmen kedua-dua negara dalam memastikan keselamatan maritim yang lebih mantap.
