CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil pihak pengurusan akhbar Kwong Wah Yit Poh bagi memberikan penjelasan berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di platform dalam talian milik mereka.
Insiden tersebut berlaku apabila imej bendera Malaysia tanpa elemen bulan sabit dimuat naik di akaun Facebook rasmi media itu hari ini, mencetuskan kritikan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Menurut MCMC, siasatan terhadap kes itu sedang dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233, kerana kesalahan tersebut melibatkan kandungan yang disiarkan secara dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara ini dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya diperlukan dalam siasatan lanjut,” menurut kenyataan rasmi suruhanjaya itu.
MCMC turut memberikan amaran tegas kepada semua pihak, termasuk organisasi media dan orang awam agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh disifatkan sebagai mempersendakan simbol negara atau menampilkan bendera Malaysia dalam bentuk yang tidak lengkap.
“Mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan tindakan tegas,” jelas kenyataan itu lagi.
MCMC menegaskan komitmen mereka untuk memastikan penggunaan media digital di Malaysia sentiasa tertib, beretika dan menghormati simbol-simbol kebangsaan.
