KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di pentas antarabangsa apabila 12 projek Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mara ke peringkat akhir World Summit on the Information Society (WSIS) 2025.

Acara berprestij itu dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan sokongan pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kenyataan MCMC, pencapaian itu merupakan satu kejayaan besar dalam usaha memperkasa transformasi digital negara, di samping mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperluaskan keterangkuman teknologi dan inovasi mampan sejajar dengan aspirasi global WSIS.

Pemilihan projek-projek tempatan daripada ratusan penyertaan di seluruh dunia dilihat sebagai bukti kemampuan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa serta menunjukkan kekuatan negara dalam landskap digital global.

“Tahun ini juga menyaksikan Malaysia diberi penghormatan sebagai Rakan Strategik Platinum bagi WSIS+20, mengukuhkan lagi peranan negara dalam membentuk hala tuju perbincangan digital dunia, selain menonjolkan kedudukan Asia Tenggara sebagai pemain utama dalam arena teknologi.

“Antara projek yang berjaya disenarai pendek termasuklah SMART600 yang memfokus kepada masa depan digital luar bandar di Sarawak, serta MetaHRise yang memperkenalkan pendekatan baharu dalam pembangunan bakat melalui teknologi metaverse.

“Turut mendapat pengiktirafan adalah Pusat Penyebaran Maklumat Kebangsaan, Program Masyarakat Tanpa Tunai MCMC, Kiosk Telekesihatan Pintar Sihat Xpress serta inisiatif AI TEACH hasil kerjasama MCMC dan Microsoft untuk memupuk penggunaan kecerdasan buatan secara beretika,” menurut kenyataan tersebut.

Kesemua projek itu diselaraskan mengikut Garis Tindakan WSIS dan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) PBB, selain membuktikan kesinambungan kejayaan Malaysia sejak 2023.

“Dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, inisiatif-inisiatif ini mendorong kepada pembentukan masyarakat yang lebih inklusif, berdaya saing dan celik digital,” jelas kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia turut digalakkan untuk menyokong projek-projek tempatan melalui undian awam WSIS 2025 yang kini telah dibuka, bagi memberi dorongan kepada usaha yang memberi impak besar kepada masyarakat dunia.