KUCHING, 22 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kestabilan dan perdamaian di Asia Barat tidak akan tercapai selagi rejim Zionis Israel terus mengganas dan mencetuskan provokasi terhadap negara-negara jiran.

Menurut Anwar, tindakan Israel yang terus-menerus menyerang dan membunuh orang awam bukan sahaja mencetuskan ketegangan serantau, malah mengundang tindak balas balas dendam daripada pihak seperti Iran.

“Untuk menjamin perdamaian sebenar di Asia Barat, Israel mesti ditekan agar menghentikan segala bentuk kekejaman dan sikap provokatif terhadap negara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan keganasan di rantau tersebut, dan menegaskan bahawa pendirian negara tetap teguh dalam menyokong keadilan serta hak asasi rakyat Palestin.

Kenyataan tegas ini hadir ketika konflik di Asia Barat terus memuncak, dengan serangan balas antara Israel dan Iran yang memburukkan lagi ketegangan geopolitik serantau.