CYBERJAYA, 11 Oktober 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memperkukuh kesalinghubungan digital dan keterangkuman teknologi sejajar dengan fokus Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Kementerian Komunikasi.

Antara inisiatif utama termasuk Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion bagi meningkatkan kestabilan capaian Internet dari Johor ke Sabah dan Sarawak, serta JENDELA 2 dengan peruntukan RM780 juta untuk memperluas jalur lebar ke 2,700 lokasi baharu, khususnya di kawasan luar bandar.

Selain itu, RM650 juta diperuntukkan bagi menambah baik ketersambungan Internet di hospital dan klinik kesihatan awam, manakala RM350 juta disalurkan kepada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk memperkasa 1,099 pusat komuniti sebagai hab latihan digital dan keusahawanan.

MCMC turut melaksanakan pembangunan Sovereign AI Cloud bernilai RM2 bilion serta menyokong model dwiband 5G bagi mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026.

Keseluruhannya, inisiatif ini menggambarkan komitmen MCMC untuk memastikan kemajuan digital dinikmati secara seimbang oleh seluruh rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang inklusif dan berdaya saing.