Gambar Kredit - BuzzKini

KLANG: Seorang penunggang motosikal cedera di bibir, tulang rusuk, dan kaki selepas dipukul dan ditendangkan oleh tiga orang lelaki di persimpangan Jalan Langat – Klang di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan itu turut mengalami kerugian sebanyak RM250 apabila beberapa bahagian pada motosikalnya rosak akibat ditendang oleh suspek.

Asisten Komisioner Cha Hoong Fong selaku Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal membunyikan hon kepada kereta Proton Saga yang dinaiki tiga lelaki kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggarnya.

Tindakan pemuda itu membawa padah apabila pemandu kereta tersebut menghalang mangsa di persimpangan lampu isyarat berkenaan sebelum dalah seorang suspek bertindak menyerang mangsa.

Ketua Polis itu menambah lagi, mangsa telah ditolak oleh salah seorang suspek sehingga terjatuh daripada motosikalnya sebelum dicekik, ditumbuk pada muka selain ditendang di bahagian perut dan kaki beberapa kali.

Orang awam yang berada di lokasi kejadian akhirnya berjaya meleraikan perbuatan suspek. Namun, dalam kejadian yang sama, suspek turut menendang motosikal mangsa sehingga terjatuh menyebabkan kerosakan pada bahagian motosikal sebelum beredar.

Berdasarkan sumber dari Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata, tiga lelaki warga tempatan berumur 28 hingga 39 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Menurutnya lagi, saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek utama terbabit adalah positif dadah jenis methamphetamine. Manakala, semakan dijalankan turut mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod berkaitan dadah, katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

ACP Cha Hoong Fong menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian tersebut dialu-alukan untuk menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.