PETALING JAYA, 27 Julai – Himpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung semalam disifatkan sebagai bukti kematangan demokrasi di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Adam Adli.

Menurutnya, Malaysia kini berada dalam era politik baharu yang lebih terbuka, di mana perbezaan pendapat diraikan dan hak rakyat untuk berhimpun serta bersuara dihormati tanpa kekerasan.

“Di era Madani, pembangkang dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, tetapi kekuatan demokrasi sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adam Adli menegaskan, profesionalisme anggota keselamatan yang hadir tanpa menggunakan kekerasan seperti belantan atau gas pemedih mata mencerminkan kematangan institusi keselamatan negara.

Beliau turut menekankan bahawa kerajaan Madani bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi komited memulihkan ekonomi, menangani kos sara hidup, membasmi kemiskinan, serta memperkukuh pendidikan dan peluang pekerjaan.

“Peranan Malaysia di pentas dunia juga semakin diiktiraf. Suara kita kembali didengari, dan ini mungkin meresahkan pembangkang yang kini ketandusan hala tuju,” ujarnya.