PUTRAJAYA, 27 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan dasar subsidi bersasar dilaksanakan demi kepentingan rakyat terbanyak, terutama golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kritikan terhadap kenaikan harga minyak, dengan menegaskan bahawa rakyat tidak sepatutnya melihat isu itu secara sempit tanpa memahami beban kewangan negara.

“Kalau ada yang tidak puas hati dengan harga minyak di sini, mereka boleh bandingkan dengan negara jiran seperti Singapura. Kita masih antara yang paling rendah di rantau ini,” katanya.

Menurutnya, dasar baharu ini bertujuan memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menerima manfaat subsidi, manakala peruntukan negara dapat disalurkan kepada sektor lain seperti pendidikan, kesihatan dan bantuan kos sara hidup.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan Madani komited menjaga kepentingan rakyat, namun tidak akan tunduk kepada tekanan populis yang boleh menggugat kedudukan fiskal negara.