PUTRAJAYA, 20 Jun 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan untuk mengutamakan penyediaan buah-buahan tempatan dalam sebarang majlis rasmi sebagai langkah menyokong para petani dan industri pertanian negara.
Menurut beliau, arahan ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan hasil tani tempatan mendapat pasaran yang lebih meluas, selain meningkatkan kesedaran terhadap kualiti dan kepelbagaian buah-buahan yang dihasilkan oleh petani tempatan.
“Saya telah arahkan semua jabatan kerajaan agar pastikan buah-buahan tempatan seperti durian, mangga, rambutan, langsat dan lain-lain dihidangkan dalam program rasmi, jamuan atau mesyuarat yang dianjurkan,” katanya ketika berucap dalam satu majlis bersama warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini.
Anwar menegaskan bahawa langkah ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu bentuk solidariti berterusan kerajaan terhadap golongan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi tulang belakang kepada keterjaminan makanan negara.
“Selama ini kita terlalu bergantung kepada buah import, sedangkan hasil tani kita jauh lebih baik dan segar. Ini masa untuk kita ubah mindset dan utamakan produk sendiri,” tegas beliau.
Inisiatif ini turut disambut baik oleh pemain industri pertanian yang melihat ia sebagai usaha konkrit untuk memperkasakan rantaian bekalan domestik dan menstabilkan harga pasaran.
Kerajaan juga akan terus memperluaskan kempen membeli barangan tempatan melalui pelbagai platform termasuk GLC, GLIC serta sektor swasta bagi menyokong pertumbuhan ekonomi domestik dari akar umbi.
