KUALA LUMPUR – Jumlah individu yang telah dipindahkan akibat banjir di enam negeri yang terjejas terus meningkat kepada 28,310 orang hingga jam 6 pagi ini, berbanding 25,938 orang semalam petang. Johor dan Sabah pula merupakan negeri terbaru yang dilanda bencana ini.
Kelantan mengekalkan jumlah mangsa tertinggi dengan 17,466 orang yang telah dipindahkan ke 89 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), meningkat dari 15,145 orang yang ditempatkan di 92 PPS pada jam 4 petang semalam.
Bagi Terengganu, jumlah mangsa sedikit berkurang kepada 10,103 orang yang kini berlindung di 113 PPS, berbanding 10,199 orang di 125 PPS semalam petang. Begitu juga di Pahang, dengan 485 mangsa yang direkodkan di sembilan PPS, menurun dari 590 mangsa di 13 PPS.
Selangor masih mencatatkan empat mangsa yang ditempatkan di PPS daerah Kuala Langat. Manakala negeri-negeri baru yang dilanda banjir, Sabah dan Johor, masing-masing mencatatkan 169 mangsa di tiga PPS dan 83 mangsa di satu PPS.
Laporan ini juga menyatakan bahawa dari sembilan PPS yang masih dibuka di Pahang, satu di antaranya terletak di daerah Cameron Highlands yang melibatkan kejadian tanah runtuh, masih menempatkan 87 mangsa dari 17 keluarga.
Hujan yang berterusan dijangka berlaku sepanjang hari ini di Terengganu di daerah Dungun dan Kemaman; Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan, dan Rompin); dan Johor (Segamat, Mersing, dan Kota Tinggi).
KEADAAN DI SABAH DAN JOHOR SETAKAT 8 PAGI HARI INI
Di SABAH jumlah mangsa banjir meningkat pagi ini kepada 180 orang daripada 46 keluarga berbanding 148 orang daripada 39 keluarga malam tadi susulan banjir yang melanda daerah Paitan dan Sandakan, kata Sekretariat JPBN Sabah.
Sekretariat itu memberitahu enam orang dari tiga keluarga dipindahką? ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Pamol dan 21 orang dari enam keluarga di PPS Rumah JPKK Cocos di Paitan; manakala 153 daripada 37 keluarga dipindahkan ke PPS Masjid Nur Iman di Sandakan.
“Data menunjukkan peningkatan (penduduk dipindahkan) di daerah Sandakan manakala Paitan dijangka kekal hari ini. Tiada laporan kejadian kematian akibat bencana banjir setakat ini dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Akhir sekali, di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Kampung Orang Asli Peta, Mersing kekal 83 orang daripada 25 keluarga, setakat jam 8 pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mersing Mohammed Shakib Ali berkata
kesemua mangsa terjejas masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Kompleks
Taman Negara Endau Rompin, setakat ini.
LAMAN WEB RASMI PUBLIC INFO BANJIR – DISINI
