KUALA LUMPUR – Setakat yang direkodkan hari ini, jumlah mangsa insiden banjir tempoh hari yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan saban hari semakin meningkat dari hari ke hari, manakala jumlah mangsa yang terkesan di Terengganu berkurangan dan di Selangor jumlah mangsa masih kekal.
KEMAS KINI KEADAAN BANJIR DI KELANTAN
Di Kelantan, jumlah mangsa yang terkesan dengan banjir meningkat dalam amaun yang sedikit, dari 709 orang kepada 718 orang yang datang daripada 201 keluarga bertambah menjadi 204 keluarga.
Mengikut sumber dari Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak empat PPS telah dibuka di Pasir Mas yang menempatkan 232 orang dari 79 keluarga di Sekolah Kebangsaan Tok Deh dan PPS di Kedai Tanjong pula melindungkan sebanyak 65 orang dari 19 keluarga.
Selain itu, di kawasan Bachok terdapat dua PPS juga di Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor dan SK Jelawat yang masing-masing menempatkan 67 orang daripada 16 keluarga dan 354 orang daripada 90 keluarga.
Namun, semalam kita dikejutkan dengan korban pertama insiden banjir di Kelantan iaitu seorang bayi lelaki yang berusia hanya 18 bulan yang ditemui lemas akibat tergelincir ke dalam sungai belakang rumahnya.
Mayat bayi tersebut ditemui lemas pada jam 1.40 tengah hari semalam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
KEMAS KINI KEADAAN BANJIR DI TERENGGANU
Situasi di Terengganu pula semakin pulih dan jumlah mangsa di Terengganu berkurangan setakat ini dengan merekodkan 225 penduduk daripada 49 keluarga ditempatkan di lima PPS mengikut daerah mereka.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) cawangan Terengganu, seramai 112 daripada 25 keluarga berlindung di PPS daerah Besut manakala di Kuala Terengganu, hanya berbaki 54 orang dari 12 keluarga yang terkesan.
Dungun juga merupakan daerah yang terkesan, dengan kehadiran 50 orang daripada 10 keluarga yang ditempatkan di dua PPS, manakala PPS di SK Kampung Rhu Sepuluh setakat ini melindungi 9 orang sahaja daripada 2 keluarga di daerah Setiu.
Namun, paras air sungai mencapai tahap amaran di Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman, manakala di kawasan Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus mencapai tahap waspada.
KEMAS KINI KEADAAN BANJIR DI SELANGOR
Setakat ini, jumlah mangsa banjir di Selangor kekal tanpa sebarang kenaikan dan penurunan dengan jumlah 83 orang daripada 29 keluarga di daerah Kuala Selangor yang telah ditempatkan di 2 PPS setakat hari ini.
Info Bencana JKM menyatakan bahawa dua PPS yang berjaya menempatkan mangsa banjir adalah Balai Raya Rantau Panjang dan Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, masing-masing menempatkan 47 orang dan 36 orang.
Laman web rasmi “Public Info” banjir yang diusahakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah menunjukkan info berkenaan aras air di Sungai Bernam yang berada di kawasan Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor melebih paras bahaya dengan ketinggian air sehingga 27.63 meter pada pagi ini. (Laman Web Public Info Banjir)
SUMBER : BERNAMA, BERITA HARIAN

