Dalam masa 10 hari termasuk tayangan awal, filem hasil kerjasama Astro Shaw, Skop Production, dan TGV Cinemas telah berjaya mengumpulkan pendapatan sebanyak RM30 juta, melampaui kutipan box office Polis Evo 2 yang mencapai RM23 juta dalam tempoh 44 hari.
Pengumuman mengenai kutipan terkini Polis Evo 3 tersebut diumumkan melalui akaun rasmi Instagram Astro Shaw.
“Alhamdulillah. Keluarga kita semakin kuat! Kali ini Filem Pilihan No.1 Malaysia kita berjaya mencapai RM30 JUTA dalam masa 9 hari sahaja!
“Terima kasih atas sokongan padu anda. Jadi, bagi mereka yang masih belum menonton atau ingin menonton semula filem Polis Evo 3, mari kita serbu panggung bersama-sama!” tulis pengumuman tersebut.
Sebelum itu, Filem Polis Evo 3 mencipta sejarah yang hebat dengan mencatatkan pendapatan tiket sebanyak RM16 juta selepas empat hari ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh Malaysia, Brunei, dan Singapura.
Filem yang diarahkan oleh Syafiq Yusof ini menampilkan pelakon-pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana, dan ramai lagi.
Polis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani yang kembali dengan misi terbaru, kali ini mereka bergabung dengan Inspektor Dani, Inspektor Julie, dan Inspektor Dell yang memiliki kepakaran yang berbeza.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila Inspektor Khai menjadi sasaran seterusnya. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila mereka menyedari bahawa suspek yang sedang mereka buru berkait rapat dengan kisah silam Inspektor Khai.
