Khidmat Ab Rasid Jusoh selaku pegawai eksekutif untuk Terengganu FC kini berakhir ekoran penerimaan pelantikan jawatan baharunya di dalam kerajaan negeri. Ab Rasid Jusoh akan memulakan khidmatnya selaku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) awal Oktober ini.
Pengesahan penamatan khidmat Ab Rasid itu diumumkan sendiri oleh pihak Terengganu FC menerusi pelbagai platform medianya, semalam.
Sebagai rekod, Ab Rasid Jusoh yang mempunyai Ijazah Sarjana dalam Pengurusan (Sukan) daripada Curtin University, Australia itu mula dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC sekitar penghujung Oktober 2022.
Sepanjang tempoh khidmatnya, Ab Rasid Jusoh telah membawa banyak perkembangan serta pembaharuan di dalam Terengganu FC seperti penempatan pejabat pengurusan kelab di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), dalam kerjasama strategik bersama Universiti Zainal Abidin (UniSZA) serta jalinan kerjasama bersama (hampir) 20 penaja setiap tahun.
Di samping itu, Ab Rasid Jusoh juga menggerakkan penubuhan TFC Lab – perniagaan makanan dan minumam, TFC Direct – perniagaan barangan cenderahati kelab secara fizikal dan dalam talian, TFC Play – platform penstriman video eksklusif, selain mewujudkan kad keahlian, Terengganu FC Academy serta Terengganu FC App dan lain-lain lagi.
Penamatan khidmat Ab Rasid Jusoh ini menjadikan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC kini kosong. Setakat ini, tiada sebarang pengumuman daripada Terengganu FC tentang pengisian baru pada jawatan tersebut.
