KLANG – Sebuah kilang pemprosesan cat telah musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Meru, Klang di sini pagi tadi.
Ahmad Mukhlis selaku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata pihak mereka menerima panggilan kecemasan seawal pukul 6.34 pagi tadi.
Beliau berkata bahawa sepasukan 39 pegawai dan anggota bersama jentera dari dari lapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) antaranya BBP Kapar, BBP Klang Utara dan BBP Andalas bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran selepas mendapat panggilan kecemasan.
“Kerja pemadaman turut membabitkan pasukan dari BBP Pelabuhan Klang, BBP Kota Raja, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong serta BBP Rawang.
“Kebakaran melibatkan dua bangunan kilang memproses cat. Semasa tiba api sedang marak dan sebahagian besar bangunan sudah dijilat api,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan berkata tiada kemalangan atau kehilangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
SUMBER : BERNAMA


