Walaupun sudah lebih tiga bulan pemergian Raja Metal, Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael XPDC, kumpulan heavy metal terkemuka tanah air XPDC Kita Pengyu masih menerima jemputan untuk mengadakan konsert di seluruh negara.

XPDC Kita Pengyu kerap mengadakan persembahan hampir setiap bulan, bahkan hingga ke Terengganu yang sebelumnya dianggap sukar bagi band berentak keras untuk menembusnya. Kumpulan ini telah menerima Ary sebagai penyanyi baharu untuk meneruskan legasi mereka dan diterima oleh hampir kesemua peminat setia.

Sejak kehilangan Mael pada bulan April lalu, XPDC Kita Pengyu telah melancarkan konsert ‘Tribute To Legend’ untuk mengenang jasa dan pengorbanan Mael dalam memartabatkan XPDC dalam industri hiburan negara sejak penubuhannya.

Peminat di Singapura turut menghendaki kehadiran XPDC Kita Pengyu setelah penampilan terakhir mereka pada tahun 2012. Oleh itu, Project Sixty Nine Pte Ltd menjemput mereka untuk mengadakan konsert di Singapura.

Menurut wakil penganjur, Muhd Faizhul Mohd Noor, peminat XPDC di Singapura telah lama menanti penampilan band tersebut. Pihak penganjur menyedari bahawa XPDC terakhir kali tampil di Singapura pada tahun 2012 dan kini tiba masanya bagi mereka membawa legasi Mael setelah sekian lama tidak berada di sana.

Konsert ini akan diadakan di Star Theatre, sebuah venue berprestij yang mampu menampung jumlah penonton yang ramai. Pihak penganjur juga mengundang band Kristal untuk menyertai persembahan tersebut.

Konsert ‘Tribute To Mael, Legacy Continues…’ ini juga akan menyajikan segmen istimewa khas untuk penonton yang hadir pada hari tersebut. Selain itu, keluarga Mael juga dijemput hadir untuk bertemu dengan peminat di konsert ini. – Awani