DAMANSARA – Tular satu video memaparkan seorang wanita bersama beberapa rakannya sedang menghadapi situasi cemas apabila didekati seorang lelaki tak dikenali yang mengaku dirinya adalah kenalan wanita tersebut di kawasan parkir sebuah pusat beli belah di sini, semalam.
Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Qistina atau nama panggilannya, Tina, juga merupakan seorang pempengaruh (influencer) di media sosial.
Menerusi hantaran di akaun peribadinya di Instagram, TikTok, dan X (Twitter), Tina menyatakan bahawa seorang lelaki tak dikenali telah datang kepadanya (ketika dia masih di dalam kereta) dan menunggu sehingga Tina keluar dari kereta tersebut, malah berpura-pura mengenalinya.
“Seorang lelaki telah datang kepada saya dan tunggu sampai saya keluar lepastu acah2 (pura-pura) kenal saya. Nasib baik, saya (telah) kunci pintu dan kawan-kawan saya pun ada disitu juga. Sumpah seram. Hati-hati, para wanita. Saya masih trauma setelah apa yang terjadi (kepada saya),” ujar Tina dalam hantaran itu. (telah diterjemahkan kepada Bahasa Melayu)
Dalam video yang berdurasi dua minit dua puluh saat itu, dilihatkan Tina sudah merakam lelaki tersebut sejak dari sebelum dia dan rakan-rakannya keluar daripada kereta lagi.
Situasi cemas bermula apabila lelaki tersebut berpura-pura mengenali Tina dan menyatakan seolah dia telah menghantar mesej kepada Tina melalui aplikasi Whatsapp namun tidak dibalas oleh Tina.
Tetapi apabila lelaki tersebut tertangkap menipu kerana menyebutkan nombor yang bukan milik Tina, dia malah bertindak meminta ‘izin’ untuk dapatkan nombor terkini Tina.
Tina juga sempat merakam kejadian dimana lelaki berkenaan dilihat terus mengekori Tina dan rakan-rakannya, malah meminta untuk ikut bersama pergi ke destinasi mereka selain menangkap gambar Tina secara senyap-senyap.
Di penghujung video itu, ia menunjukkan bahawa Tina dan rakan-rakannya sedang meminta pertolongan kepada salah seorang pengawal keselamatan yang ada di dalam pusat beli belah itu untuk menghentikan perbuatan lelaki tersebut.
Video tular yang telah dimuat naik kira-kira jam 2 petang semalam telah mendapatkan banyak reaksi risau dari netizen terutamanya para wanita, namun ada juga yang bergurau menyatakan bahawa kejadian ini menakutkan hanya kerana lelaki tersebut kurang kacak.
Membalas reaksi negatif di ruangan komen, Tina mengeluarkan satu kenyataan dan meluahkan rasa kecewa serta memberi peringatan bahawa perkara ini mungkin terlihat biasa, tapi terdapat kemungkinan berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Tonton video penuh di TikTok @NegaraNews
Sumber: X (Twitter)
