PUTRAJAYA – Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan akan ada jaminan berkenaan soal pelarasan gaji kepada golongan profesion teknikal dalam perkhidmatan awam akan diberikan lebih banyak perhatian dan keutamaan dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Kenyataan tersebut telah diungkapkan oleh Anwar pada Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN2023) semalam dan kehadirannya dalam majlis tersebut adalah dengan tujuan untuk mengiktiraf peranan golongan profesion bidang teknikal yang sangat sinonim dengan pertumbuhan ekonomi masa kini yang memerlukan profesion sebegini.
Berhubung sambutan tersebut, ianya telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada tahun 2018 untuk diadakan setiap tahun, lebih spesifiknya pada hari Sabtu pertama Disember untuk menghargai jasa yang telah disumbangkan oleh profesion teknikal tersebut kepada negara.
Sementara itu, Anwar yang juga menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan meminta badan-badan professional dalam profesion tersebut supaya mengusulkan input yang munasabah berkenaan soal pelarasan gaji menerusi SSPA.
ANWAR MENEKANKAN PERHATIAN TERHADAP TVET
Sehubungan dengan itu, Anwar turut menggesa syarikat swasta dan syarikat yang berkait dengan kerajaan (GLC) untuk memperbaiki kerjasama bersama institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menyalurkan kemahiran dan kepakaran yang boleh bergerak seiring dengan keperluan industri di Malaysia.
Anwar juga menambah penglibatan secara langsung dengan latihan TVET adalah penting bagi sesetengah pihak seperti Khazanah Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Tenaga Nasional Bhd.
“Dengan cara itu TM (contohnya) tahu keperluan jenis latihan yang perlu diberikan, dan sebaiknya bantu uruskan dan beritahu keperluan mesin untuk latih anak-anak (di institusi TVET)” ujar beliau.
Beliau menambah lagi bahawa sudah sebanyak 64 syarikat swasta dan GLC telah mencapai kerjasama dengan institusi TVET dan persepsi terhadap TVET pada masa kini sudah berbeza dari zaman dahulu.
Ini kerana berlakunya peningkatan yang mendadak dalam pengiraan jumlah kemasukan pelajar peringkat diploma bagi program TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi iaitu sebanyak 58, 424 pelajar pada 2021 dan sebanyak 85,535 jumlah pelajar terkumpul pada tahun 2022.
Beliau turut menyatakan bahawa isu berbangkit berkenaan 97% lulusan TVET mendapat pekerjaan dengan majoriti gaji sekitar RM 2000 dan isu tersebut harus diperbaiki secepat mungkin.
“RM2,000 tidak cukup untuk hidup pada zaman sekarang tetapi kalau ada latihan seperti yang dilakukan Petronas di Sarawak dan pusat latihan di Sabah seumpamanya.
“Dengan sendirinya selepas lulus ada peningkatan upah itu daripada RM2,000 ke minimum RM3,500 sampai ke RM5,000 dan untuk kimpalan, menurut Petronas sampai RM7,000” tambahnya lagi.
SUMBER : BERNAMA



