Ahmad Samsuri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar atas kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, kemenangan Ahmad Samsuri sekurang-kurangnya dapat meredakan suhu politik negara berdasarkan imej sederhana yang disifatkan berbeza dengan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) lain yang ekstrem.

“Saya ucapkan tahniah kepada Samsuri atas kemenangan itu, mudah-mudahan semoga dia dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Dan juga dari segi negara, dia memberi sekurang-kurangnya kelegaan kerana imej lebih sederhana, daripada sikap pimpinan PAS yang nampak jauh lebih ekstrem. Mudah-mudahan (dia) dapat meredakan suhu politik yang terlalu panas,” katanya kepada media ketika ditemui pada acara perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN 2023) di Putrajaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa beliau juga telah mengadakan mesyuarat bersama pimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk berbincang mengenai keputusan PRK Kemaman.

“Kalau tengok undi itu, dia ada sedikit susutan dari PAS. Semalam kita ada mesyuarat di antara PH (Pakatan Harapan) dan UMNO, dan saya puas hati kerana nampak (bahawa) mereka akan kerahkan jentera untuk ke akar umbi,” katanya.

Pada PRK itu, Ahmad Samsuri telah menang selepas memperoleh 64,998 undi, dengan majoriti sebanyak 37,220 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang hanya memperolehi sokongan sebanyak 27,778 undi.

ahmad samsuri
Dr Ahmad Samsuri (depan kiri) bersama Raja Mohamed Affandi (depan kanan) bergambar selepas diumumkan bertanding PRK Parlimen Kemaman. – FOTO Bernama

Sumber: Astro Awani