Pemandu 4x4 Langgar Motosikal Empat Beranak Ditahan

KUALA LUMPUR – Sebuah rakaman video papan pemuka (dashcam) telah tular di laman media sosial X, yang memaparkan insiden pelanggaran antara sebuah kereta pacuan empat roda Ford Ranger dengan motosikal yang ditunggang empat sekeluarga di Lebuhraya Besraya berhampiran Puchong di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian pada Selasa itu, penunggang motosikal dan dua orang anaknya telah mengalami kecederaan ringan.

Katanya, pihaknya sebelum itu mengesan rakaman video papan pemuka kenderaan mengenai kejadian terbabit yang tular di media sosial.

“Kemalangan membabitkan motosikal ditunggang suami isteri berusia 30 tahun bersama anak mereka berumur lima dan tujuh tahun, manakala Ford Ranger dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun.

“Dalam insiden itu, penunggang motosikal dan anaknya cedera ringan, manakala individu lain tidak cedera.

“Kedua-dua pihak membuat laporan polis mengenai kemalangan dan susulan itu, kami menahan pemandu Ford Ranger untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20719999 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, rakaman dashcam yang berdurasi satu minit itu menunjukkan kereta Ford Ranger yang berada di lorong paling kanan, telah menukar lorong untuk memasuki lorong susur keluar secara melulu sehingga berlanggar dengan empat beranak yang sedang menunggang motosikal dan menyebabkan mereka terjatuh.

Namun, pada minit terakhir video, kelihatan pemandu Ford Ranger tersebut telah datang membantu mangsa di tempat kejadian dan menerusi beberapa hantaran oleh pengguna X juga, dilaporkan bahawa pemandu tersebut telah membawa mangsa sekeluarga pergi ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Pemandu 4x4 Langgar Motosikal Empat Beranak Ditahan

Tonton video penuh dashcam insiden langgar di TikTok Negara News.

Sumber: Harian Metro, X (Twitter)