KEJAYAAN kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurangkan defisit fiskal negara kepada paras yang lebih sihat bukanlah suatu kebetulan.

Ia hasil strategi fiskal yang dirancang dengan teliti dan dilaksanakan secara berhemah.

Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, terdapat dua faktor utama yang menjadi pemangkin kepada pencapaian tersebut.

Ia meliputi peningkatan hasil kerajaan melalui kutipan cukai serta penjimatan perbelanjaan menerusi rasionalisasi subsidi dan kawalan ketat terhadap perbelanjaan agensi kerajaan.

“Faktor utama adalah peningkatan hasil melalui kutipan cukai yang lebih tinggi dan juga perbelanjaan yang lebih berhemah melalui rasionalisasi subsidi diesel dan penjimatan di peringkat agensi kerajaan,” ujar beliau ketika dihubungi Negara News.

Tambah beliau, kerajaan telah melaksanakan program penyasaran subsidi diesel yang lebih efisien, membolehkan penjimatan yang signifikan kepada fiskal negara.

Menurut laporan Kementerian Kewangan, penyasaran subsidi bahan api sahaja dijangka menjimatkan lebih RM4 bilion pada tahun 2024.

Langkah ini disokong pula oleh usaha memperkemas kutipan cukai yang menyaksikan hasil kerajaan melonjak kepada RM307.6 bilion pada 2023, peningkatan hampir 8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Gabungan strategi ini, jelas Dr. Ahmed Razman, bukan sahaja berjaya mengawal defisit tetapi juga memberi impak jangka panjang kepada kestabilan ekonomi negara.

“Kombinasi kedua-dua strategi ini akan mampan selagi pertumbuhan ekonomi negara kekal positif dan negara berterusan menarik pelaburan masuk ke negara kita di samping ekonomi domestik terus diperkasakan,” jelas beliau.

Bank Negara Malaysia dalam laporan suku tahunan terbarunya menyatakan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2025, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang kukuh serta eksport yang pulih secara berperingkat.

Aliran masuk pelaburan asing langsung (FDI) pula terus meningkat, mencatatkan RM22.1 bilion pada suku akhir 2024, satu petunjuk bahawa keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara semakin kukuh.

Justeru, Dr. Ahmed Razman turut menekankan bahawa kejayaan itu memberi impak positif terhadap keyakinan pasaran.

“Penurunan defisit ini akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur, penarafan kredit dan juga menyumbang kepada kestabilan nilai ringgit,” katanya.

Agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s dan Fitch telah mengekalkan prospek penarafan Malaysia pada tahap stabil, satu petanda baik bahawa langkah-langkah fiskal semasa diyakini mampu menyokong pertumbuhan mapan.

Menyentuh tentang hala tuju masa depan, beliau turut membandingkan kejayaan ini dengan pencapaian Anwar ketika menjadi Menteri Kewangan pada era 1990-an yang ketika itu berjaya mencatat lebihan fiskal.

“Kejayaan ini lebih menyerupai kejayaan PMX semasa beliau menjadi Menteri Kewangan buat kali pertama dahulu yang berjaya menghasilkan lebihan fiskal semasa 90-an dulu,” katanya sambil menegaskan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak mungkin diperkenalkan dalam masa terdekat.

Sebaliknya, tambah beliau, kerajaan dijangka meneruskan usaha penstrukturan semula sistem percukaian sedia ada untuk terus meningkatkan hasil negara secara progresif tanpa membebankan rakyat.

Dengan pendekatan berhemat yang terus diamalkan dan pertumbuhan ekonomi yang stabil, Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran fiskal jangka sederhana termasuk pengurangan defisit kepada 3.0 peratus KDNK menjelang 2026 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025.