Hasrat jaguh badminton perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia untuk meraih dua pingat gangsa di temasya Sukan Asia berakhir apabila tewas di tangan Prannoy Haseena Sunil Kumar pada peringkat suku akhir.
Zii Jia tewas kepada atlet badminton India, Prannoy Haseena Sunil Kumar pada aksi sengit tiga set yang berlanjutan sehingga 78 minit.
Dalam pertarungan di peringkat suku akhir yang berlangsung sebentar tadi, Zii Jia terlebih dahulu tumpas pada set pertama dengan skor 16-21, sebelum bangkit pada set kedua dengan skor 23-21. Keputusan ini sekaligus membawa permainan ke set penentuan ataupun ‘rubber set’.
Set penentuan yang mendebarkan itu menunjukkan aksi hebat oleh kedua-dua atlet badminton itu. Namun, Zii Jia akhirnya terpaksa akur tewas apabila Prannoy selaku pemain ketujuh dunia itu menamatkan set ketiga dengan skor 22-20.
Persembahan Zii Jia di temasya Sukan Asia 2022 kini berakhir di peringkat suku akhir.
Sementara itu, tiga lagi wakil negara dalam acara badminton iaitu perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, beregu wanita, Pearly Tan/M Thinaah, dan beregu lelaki, Aaron Chia/Soh Wooi Yik akan meneruskan cabaran negara di suku akhir petang ini.
