[DIKEMASKINI] 10 maut, 2 helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut

LUMUT – 10 mangsa yang maut dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, pagi tadi membabitkan tujuh lelaki serta tiga wanita.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kesemua mayat mangsa insiden membabitkan dua helikopter iaitu jenis HOM M5033 dan Fennec M5026 itu dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Lumut, di sini sebelum akan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh selepas semua waris ahli keluarga mangsa tiba di Lumut.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian sedang dilakukan dengan diketuai oleh TLDM, dibantu polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang membabitkan dua lokasi pesawat terhempas iaitu berdekatan stadium bola sepak dan kolam renang dalam kawasan pangkalan TLDM itu.

“Semua mangsa sudah dibawa keluar (dari tapak nahas berlaku) seterusnya dihantar ke Hospital Angkatan Tentera di Lumut. Namun proses bedah siasat kita akan buat di Hospital Ipoh (HRPB).

“Siasatan masih di peringkat awal, dan kita serahkan kepada pihak ATM,” katanya pada sidang media sempena nahas itu di pintu pagar hadapan Pengkalan TLDM Lumut, di sini, pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, dalam kejadian 9.30 pagi tadi, nahas berlaku apabila dua helikopter milik TLDM itu terhempas sewaktu melakukan latihan udara sempena Sambutan Hari Ulang tahun TLDM ke-90 yang bakal diadakan bermula 25 April hingga 5 Mei ini.

  • [DIKEMASKINI] 10 maut, 2 helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut
  • [DIKEMASKINI] 10 maut, 2 helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut

Dua helikopter itu dikatakan berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi dan berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

@negaranews

BERITA – Dua helikopter dilaporkan terhempas selepas bertembung ketika membuat latihan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada Selasa. Difahamkan dua helikopter terbabit sedang membuat raptai sempena Hari Terbuka Armada TLDM yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Mei depan di Pangkalan TLDM Lumut. SUMBER : SINAR HARIAN Klik link di bio untuk baca berita penuh. #negaranews #berita#helikopter #TLDM #Lumut

♬ original sound – Negara News – Negara News

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit dilihat hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat HOM dikatakan terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

  • [DIKEMASKINI] 10 maut, 2 helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut
  • [DIKEMASKINI] 10 maut, 2 helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut

Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Manakala dari pesawat Fennec dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Takziah kepada ahli keluarga mangsa dan al-Fatihah kepada korban nahas.

SUMBER : SINAR HARIAN, BERITA HARIAN, HARIAN METRO