SAN FRANCISCO – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu dengan beberapa syarikat gergasi teknologi seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft, dan TikTok ketika lawatannya ke Amerika Syarikat bagi menghadiri Mesyuarat APEC ke-30, semalam.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat besar yang telah memberi pengakuan akan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran,” jelasnya.

Anwar berkata, sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas merupakan antara faktor penting yang berpotensi menarik minat syarikat luar untuk melabur di Malaysia.

“Proses kelulusan juga akan memberi keyakinan kepada mereka. Kepantasan kehadiran pelabur baharu akan memberikan satu rekod baharu kepada Malaysia,” katanya kepada pemberita Malaysia setelah sesi pertemuan tersebut.

Turut hadir ketika sesi pertemuan bersama Anwar ialah Presiden, Ketua Pegawai Pelaburan dan Ketua Pegawai Kewangan, Ruth Porat yang mewakili Google; Ketua Pegawai Operasi, Ajay Marathe yang mewakili Enovix Cooperation; Presiden Microsoft Asia, Ahmed Mazhari, serta Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew.

  • Anwar
  • Anwar
  • Anwar

Kawasan San Francisco Bay menjadi tumpuan banyak syarikat besar Fortune 5001 untuk bertapak di sini yang mana kebanyakkannya adalah firma inovatif dalam pembangunan Artificial Intelligence (AI), bioteknologi, perisian maklumat, teknologi bersih, serta media sosial.

Perdana Menteri, yang juga merupakan Menteri Kewangan turut menerima kunjungan hormat daripada Jim Coulter, iaitu Rakan Pengasas, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah TPG, sebuah syarikat pengurusan aset alternatif utama global.

Anwar telah tiba di San Francisco pada Isnin lalu (13 November) bagi menghadiri Menyuarat Pemimpin Ekonomi dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM) dari 14 hingga 17 November, yang juga merupakan lawatan sulung beliau bagi menyuarat Kerjasama Asia Pasifik (APEC) sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil; Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, serta para pegawai kanan kerajaan yang lain.

anwar
Dari kiri, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kunjungan hormat daripada Rakan Pengasas, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah TPG, Jim Coulter (kanan) di San Francisco. – Foto BERNAMA

Sumber: AstroAwani

  1. Fortune 500 merupakan satu senarai tahunan yang menamakan 500 syarikat terbesar di Amerika Syarikat yang disenaraikan mengikut jumlah pendapatan untuk tahun fiskal masing-masing. Senarai itu akan disusun dan diterbitkan oleh suatu majalah perniagaan global di Amerika iaitu Fortune. Syarikat yang tersenarai di Fortune 500 dianggap sebagai syarikat yang berprestij dan berkualiti tinggi. ↩︎