KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta agar para penduduk di kawasan yang mempunyai risiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa serta amaran hujan lebat dan banjir yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
Beliau menjelaskan perkara ini adalah susulan ramalan cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia yang signifikan bagi tempoh hari Isnin (semalam) sehingga Rabu, dan berdasarkan analisis model cuaca itu, amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk serta waspada dikeluarkan kepada beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, dan Sabah.

“Amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikemas kini dan akan berkuatkuasa sehingga 21 November (hari ini). Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang yang lebih menyeluruh juga berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya petang semalam.
Bagi mendapatkan maklumat dan amaran semasa mengenari banjir, Ahmad Zahid berkata orang ramai boleh melayari laman web publicinfobanjir.water.gov.my atau laman sosial media di Facebook (@PublicInfoBanjir) dan Twitter (@JPS_InfoBajir).
“Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada MetMalaysia,” katanya.
Tambah beliau, sehingga 12 tengah hari semalam, Perak, Terengganu, dan Pahang dilaporkan terkesan dengan bencana banjir yang melibatkan masing-masing satu daerah di ketiga-tiga negeri itu.
“Seramai 346 orang mangsa daripada 106 ketua isi rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS),” tambahnya lagi.
Sementara itu, dalam laporan media yang terbaru setakat pagi tadi, beberapa kawasan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus telah dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.
Berikutan daripada itu, satu lagi PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, Marang telah diaktifkan malam tadi bagi menempatkan 132 orang mangsa daripada 32 keluarga.
BACA LAGI: Bencana banjir di Terengganu, 1,431 jumlah mangsa banjir direkodkan
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian
