KUALA TERENGGANU – Marang menjadi daerah yang terkena kesan bencana banjir terbaru di Terengganu selepas satu pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan semalam dan 1,431 mangsa direkodkan setakat ini.
132 mangsa dari 32 keluarga ditempatkan dengan selamat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing yang berfungsi sebagai PPS di daerah Marang.
1,431 jumlah mangsa yang direkodkan datangnya dari 400 keluarga ditempatkan di 14 PPS sekitar Terengganu dan dipecahkan kepada empat daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, dan kini daerah Marang.
Ini menunjukkan peningkatan berbanding dengan hanya 1,048 mangsa dari 295 keluarga di 12 PPS di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, dan Setiu pada malam sebelumnya.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kuala Nerus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 699 mangsa daripada 189 keluarga, yang ditempatkan di tujuh PPS berbanding dengan 507 mangsa pada malam sebelumnya.
Di Kuala Terengganu, terdapat 574 mangsa banjir yang melibatkan 173 keluarga, ditempatkan di empat PPS iaitu SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang, dan SK Gong Tok Nasek.
Jumlah mangsa yang terjejas di Setiu kekal sebanyak 26 mangsa daripada enam keluarga dan ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Bintang dan Balai Raya Kampung Bari Besar.
Keadaan cuaca pada masa ini masih hujan di beberapa tempat di Terengganu.
SUMBER : BERITA HARIAN


