KUALA TERENGGANU – Banjir yang bermula dua hari lepas masih memberikan kesan kepada lima daerah di Terengganu dengan 32 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

Terdapat 4,487 mangsa daripada 1,181 keluarga di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Besut, Dungun, dan Marang yang terjejas akibat bencana tersebut yang direkodkan setakat jam 2 petang ini.

Walaupun begitu, jumlah individu yang terkesan menunjukkan penurunan sedikit berbanding dengan 4,632 mangsa daripada 1,216 keluarga pada tengah hari tadi.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,705 orang membabitkan 450 keluarga yang ditempatkan di 15 PPS disekitar kawasan tersebut.

Di daerah Kuala Terengganu pula, 336 keluarga dengan 1,153 mangsa direkodkan masih berada di lima PPS untuk berlindung.

Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang, SK Gong Tok Nasek, dan SK Rengah Bekah merupakan Lima PPS yang telah dibuka untuk menempatkan penduduk kawasan daerah Kuala Terengganu.

Jumlah mangsa di Marang juga menunjukkan penurunan sedikit, dengan 927 mangsa daripada 230 keluarga berada di tujuh PPS, berbanding dengan 1,059 orang daripada 263 keluarga sebelum ini.

Sementara itu, di Besut, jumlah mangsa yang terjejas kekal ialah 679 orang daripada 160 keluarga yang dipindahkan ke empat PPS.

Mangsa di Besut terletak di SK Kuala Besut, SK Nail, Balai Raya Beris Tok Abu, dan SK Kampung Baharu.

PPS di SK Tok Kah di Dungun diaktifkan pada jam 7.30 malam semalam, menampung 23 orang daripada lima keluarga.

SUMBER : BERITA HARIAN