BAYAN LEPAS – Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun melecur hampir seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kampung Bukit, dekat Taman Sri Bayu, di sini, petang Khamis lalu (16 November).
Kejadian berlaku ketika mangsa, Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, dikatakan memasuki fasiliti milik TNB itu untuk mengambil bola miliknya yang terjatuh di dalam premis berkenaan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohamad Hirman Md Rodzi sepasukan anggota dari BBP Seri Balik Pulau dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 4.45 petang itu bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Setiba di lokasi, seorang kanak-kanak didapati melecur hampir seluruh badan. Mangsa ditemukan orang awam dan dibawa ke tempat selamat sebelum pasukan bomba tiba.
“Mangsa kemudian diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) menggunakan ambulans milik Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.
Beliau berkata, maklumat awal mengatakan mangsa tersentuh peralatan elektrik di dalam bilik jana kuasa sebelum terkena renjatan.
Lihat video penuh ketika kejadian. Kredit kepada pemilik asal.
Sementara itu, dalam laporan media lain setakat malam semalam, Mohd Dawisy dibawa untuk menerima rawatan di Hospital Pulak Pinang (HPP), namun asbab kondisi tubuh badannya yang agak kritikal, dia terpaksa ditidurkan.
Bapa mangsa, Mohd Khairi Abdul Ghani, 38, yang telah mengesahkan perkembangan itu memberitahu bahawa badan Mohd Dawisy telah melecur sehingga 50 peratus dan kini terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
“Mohd Dawisy ditidurkan sejak dimasukkan ke hospital semalam (16 November), dan doktor mengesahkan dia mengalami kira-kira 50 peratus terbakar (melecur) di bahagian hadapan (badan).
“Pada masa ini, Mohd Dawisy masih kritikal serta (perlu) menggunakan alat bantuan pernafasan dan doktor tidak pasti tempoh dia ditidurkan, (kerana) bergantung kepada tindak balas (ketika dirawat),” jelasnya ketika ditemui di perkarangan Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP, semalam.
Ibu Mohd Dawisy, Suhana Samsudin, 37, berkata ketika kejadian, dia berada ditempat kerja tidak jauh daripada rumahnya manakala suaminya yang juga penjawat awam sedang bertugas di Lumut, Perak.
Katanya, ketiga-tiga anaknya termasuk kembar kepada Mohd Dawisy, sudah biasa ditinggalkan di rumah ketika dia keluar bekerja dan mereka akan bermain bola bersama rakan di perumahan itu pada waktu petang.
“Semalam, kembar kepada Mohd Dawisy tidak bermain bersama kerana tidur dan saya hanya mengetahui kejadian menerusi aplikasi kumpulan WhatsApp kira-kira jam 5 petang sebelum dihubungi kenalan.
“Sebaik tiba, saya lihat dia dibawa keluar dari bilik jana kuasa itu oleh jiran dan Mohd Dawisy masih boleh berjalan serta berlari sambil memanggil ‘mama’ sambil mengadu kepanasan.
“Kemudian kami membawanya ke dalam surau berhampiran dan diberi rawatan awal oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya ketika ditemui.
Suhana berkata sehingga kini masih terngiang-ngiang suara anak bongsunya yang merintih kesakitan.
“Mama, adik sakit. Tolong adik, adik (berasa) panas,” itu sahaja yang diulangnya sedangkan anak saya itu ceria serta aktif bersukan.
“Sehingga kini dia belum sedar dan sebagai ibu, sudah tentu saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku dan mahu dia kembali pulih dengan segera,” katanya lagi.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu turut menerima kunjungan prihatin daripada wakil TNB Pulau Pinang bagi melawat dan mengetahui perkembangan Mohd Dawisy.

Sumber: Berita Harian
