Anjing

BUTTERWORTH – Pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini sedang berusaha menjejaki anjing yang menyerang dua pelajar di Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat pada Selasa pagi.

Dalam satu kenyataan, MBSP mengumumkan bahawa mereka telah memulakan siasatan dan pemeriksaan di rumah pemilik haiwan tersebut selepas menerima laporan kejadian.

Walaubagaimanapun, kenyataan tersebut menjelaskan bahawa hasil siasatan awal menunjukkan anjing berkenaan telah dipindahkan oleh pemiliknya ke pusat perlindungan haiwan di Butterworth.

“MBSP akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai lokasi sebenar anjing tersebut, dan tindakan kompaun di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan diambil terhadap pemilik yang telah mencetuskan gangguan,” kata MBSP dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, dua video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menjadi viral, memaparkan detik-detik dua pelajar perempuan dikejar oleh anjing ketika mereka sedang berjalan kaki menuju ke sekolah pada jam 7.27 pagi.

Video berdurasi 2 minit 6 saat dan 1 minit 19 saat itu juga menunjukkan suasana cemas ketika anjing berwarna putih secara tiba-tiba menjadi agresif setelah keluar dari pagar rumah, mengejar salah satu mangsa.

SUMBER VIDEO – GROUP INFO BERITA SEMASA DI FACEBOOK

Seorang lelaki yang dipercayai pemilik haiwan terbabit dilihat cuba menangkap anjing berkenaan dan menghalangnya dari terus mengejar mangsa namun usaha lelaki itu tidak berhasil.

Sehinggalah datang sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita tidak lama kemudian dan pemilik anjing itu dilihat seolah berjaya menenangkan haiwan peliharaannya dari terus mengejar mangsa.

Bagaimanapun keadaan tenang itu hanya seketika sebelum anjing berkenaan kembali agresif dengan mengejar dan mengigit murid perempuan terbabit.

Seorang penduduk berhampiran yang menyedari kejadian itu boleh dianggap penyelamat selepas dia pula bertindak mengejar anjing berkenaan dan menakutkan haiwan itu dengan sebatang kayu.

Aksi lelaki itu berjaya membuatkan anjing yang pada mulanya agresif mengejar mangsa lari ke kawasan lain sebelum berjaya menyelamatkan kedua-dua murid berkenaan.

Mereka kemudiannya dibawa dengan menaiki sebuah motosikal meninggalkan lokasi kejadian.

Difahamkan, kedua-dua mangsa bukan sahaja mengalami trauma malah salah seorang daripadanya cedera selepas dia dilihat beberapa kali terjatuh di atas jalan ketika cuba lari menyelamatkan diri.

Sementara itu, MBSP berkata mengenai kes gigitan anjing, perkara ini adalah dibawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan mangsa dinasihatkan untuk membuat rawatan dan pemeriksaan susulan di klinik atau hospital berhampiran.

Tambahnya, kes ini akan disalurkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut di bawah Protokol Veterinar Malaysia.

SUMBER : SINAR HARIAN, FACEBOOK