KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Hari Deepavli kepada semua rakyat Malaysia beragama Hindu yang akan meraikannya pada Ahad ini.
Anwar berkata perayaan Deepavali adalah satu daripada jalan dalam membangunkan Malaysia yang madani, hormat-menghormati selain memelihara kerukunan antara kaum.
Beliau berkata kejamakan (kelaziman) budaya di negara ini mesti terus dipertahankan tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.
“Sebarang percubaan untuk melemahkan tiang masyarakat ini mesti dipatahkan dengan sikap beserta nilai dan budi pekerti yang tinggi,” jelasnya dalam kenyataan di sidang media, semalam.
Perdana Menteri juga berkata Kerajaan Perpaduan akan memastikan pembangunan sosioekonomi semua rakyat, pengagihan kekayaan yang lebih saksam dan bantuan kepada yang memerlukan disampaikan dengan lebih tuntas dan cekap.
Anwar berkata beliau akan berusaha memastikan kebajikan dan tahap hidup masyarakat, yakni masyarakat Hindu terutamanya, terus ditambah baik serta dilindungi dalam menjamin kenikmatan serta khazanah negara yang dapat dirasai rakyat secara adil dan saksama.
Perdana Menteri turut menyertakan ungkapan dalam Thirukural yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu iaitu: “Kebahagiaan yang berpunca daripada etika atau tatakelola yang baik merupakan nikmat yang sebenar, dan kegembiraan berpunca daripada sikap yang tidak beretika adalah penderitaan atau tidak membawa kebahagiaan yang mampan,” tambahnya lagi.
Anwar berkata Deepavali yang diraikan sebagai ‘pesta cahaya’ adalah simbolik kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan atas kebobrokan serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan dan keangkuhan.
“Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu,” katanya.
Sumber: BeritaHarian
