Makcik Kemboja

JOHOR BAHRU – Sebuah video yang memaparkan seorang wanita yang mengaku dirinya anak kelahiran Kemboja telah tular di laman aplikasi TikTok akibat tindakan wanita tersebut yang bergurau dengan menyatakan bahawa orang Melayu malas bekerja.

Video yang berdurasi satu minit tujuh saat itu dirakam seorang lelaki yang menunjukkan seorang wanita sedang mengadakan penstriman langsung di dalam sebuah gedung pakaian Muslimah.

Difahamkan, wanita tersebut yang sering menggelarkan dirinya sebagai ‘madame’, juga merupakan pemilik kepada gedung tekstil yang menjalankan perniagaan jahitan pukal di Skudai, Johor. Namun sejak videonya tular, para netizen memanggilnya sebagai ‘makcik Kemboja’.

Menerusi video yang tular itu, lelaki yang dipercayai salah seorang pekerja di gedung berkenaan telah bertanyakan kepada wanita itu sama ada dia benar-benar adalah seorang warganegara Kemboja bagi menjawab pertanyaan seorang pengguna laman sosial media tersebut.

“Iyalah memang saya orang Kemboja, apa kena mengena kalau kita orang Kemboja dengan orang Malaysia? I (saya) memang orang Kemboja, I dilahirkan di Kemboja tapi dibesarkan di Malaysia.

“So (jadi) ada apa? Kalau orang Kemboja memang pandai meniaga kan, betul tak? Orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu, malas,” katanya dalam rakaman video yang tular itu.

Namun, di penghujung rakaman video berkenaan, wanita itu menyatakan bahawa dia hanyalah bergurau semata, malah berkata yang orang Melayu atau orang Kemboja tiada bezanya.

Tambahnya lagi, kerajinan seseorang itu untuk mencapai sesuatu yang diinginkan itulah yang paling penting.

“Selagi you (awak) rajin, you akan dapat apa yang you nak, tapi kalau you malas, tak dapatlah apa yang you nak, lepastu mengharapkan orang, memang habislah,” ujarnya.

Susulan kenyataan wanita itu, ramai pengguna laman sosial di banyak tempat telah meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakannya yang seolah-olah menghina orang Melayu.

Setelah dihujat bertubi-tubi oleh para netizen, ‘makcik Kemboja’ kemudiannya memuat naik satu video permohonan maaf di TikTok yang kini telah mencecah 1.8 juta tontonan.

Tonton video penuh menerusi laman media sosial kami di TikTok@NegaraNews.

Sumber: Kosmo!