PUTRAJAYA – Bayaran insentif awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk dengan lantikan kontrak akan disalurkan pada 23 Februari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan informasi berkenaan bayarann tersebut sewaktu menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, hari ini. – DISINI
“Turut disalurkan sebanyak RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
“Bayaran insentif RM1,000 turut disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen,” ujar Anwar.
Anwar yang turut menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan menyatakan bahawa Bayaran Insentif Awal itu disalurkan sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimuktamadkan.
Beliau juga mengatakan laporan akhir Kajian SSpa dijangka akan siap dalam tempoh dua bulan, sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan kelulusannya.
“Saya dah mulakan mesyuarat pelarasan gaji penjawat awam (SSPA) dengan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), dan mereka setuju untuk dipercepatkan.
“Saya tak mahu kata ia sengaja dilengah-lengahkan, sudahlah 12 tahun tunggu, kita ambil laluan pantas.” tambahnya lagi.
Terdahulu, Anwar juga pernah menyebut betapa pentingnya pelarasan gaji untuk golongan profesion teknikal dan perlu diberi lebih perhatian dalam SSPA. – DISINI
Dalam masa yang sama, Anwar berkata kerajaan tidak hanya menumpukan fokus kepada kebajikan penjawat awam dan profesion teknikal, tetapi kerajaan juga berusaha sedaya upaya untuk memberi keadilan untuk semua lapisan golongan rakyat yang memerlukan, seperti peneroka.
Kerajaan telah menaikkan Insentif Pengeluaran Getah kepada RM3 per kilogram (kg) tahun ini, berbanding RM2.50 per kilogram pada tahun 2022.
“Pesawah padi pun tak dilupakan, kita bayar Kadar Skim Subsidi Harga Padi dari RM360 per metrik tan pada 2022 kepada RM500 per metrik tan tahun lepas, serta harga lantai belian padi juga dinaikkan dari RM1,200 per metrik tan pada 2022 kepada RM1,300 per metrik tan pada tahun lepas,” kata Anwar.
Anwar menambah lagi kenyataan beliau dengan memberitahu tentang bayaran Bantuan Awal Persekolahan untuk murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima juga mula dibayar bulan lepas untuk membantu persediaan persekolahan anak-anak.
Peningkatan yang dilihat berlaku secara mendadak terhadap sumbangan kepada rakyat hanya boleh direalisasikan kerana kejayaan kerajaan mengurangkan kos yang dianggap tiris dan kos yang membazir, selain dari kejayaan kerajaan berjaya melaksanakan beberapa program seperti penyasaran subsidi elektrik dan pengapungan harga ayam.
“Ini semua membantu untuk kita mendapatkan hasil yang lebih baik dan kemudian khidmat rakan-rakan dalam badan penguat kuasa seperi kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) yang boleh membawa hasil lebih baik.
“Dan hasil ini seperti yang saya tunjukkan buktinya, kita boleh tambah lonjakan besar (sumbangan dan bantuan) kepada rakyat,” katanya.
SUMBER : BERNAMA




