KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka menurun daripada 1,319 mangsa setakat tengah malam tadi kepada 759 mangsa yang kini ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 6 pagi tadi.

SITUASI DI SELANGOR
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), tiga PPS dibuka di Selangor iaitu masing-masing satu di daerah Klang yang menempatkan 204 mangsa daripada 57 keluarga, Kuala Selangor (48 mangsa / 12 keluarga) dan Petaling (382 mangsa / 90 keluarga).
Sementara itu, paras air banjir di Sungai Klang di Pekan Meru, Klang (Selangor) dan Sungai Besut di Kampung La, Jerteh (Terengganu) masing-masing merekodkan tahap bahaya.

SITUASI DI NEGERI SEMBILAN
Di Negeri Sembilan, dua PPS iaitu di Rembau menempatkan 10 mangsa (empat keluarga) dan Port Dickson dengan 67 mangsa (tujuh keluarga), manakala di Melaka, hanya satu PPS di Alor Gajah melibatkan 48 mangsa (11 keluarga).

SITUASI DI MELAKA
Paras air banjir Sungai Duyong di Bemban, Melaka, Sungai Linggi dekat Pekan Linggi di Port Dickson, Negeri Sembilan serta Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor pula pada tahap amaran.
SUMBER : BERNAMA
